Sunday, November 14, 2010

Ihtifal PASTI melabuh tirai

Kemaman, 13hb. November : Hari Ihtifal 2010 Pusat Asuhan Tunas - Tunas Islam (PASTI) Adam, Qaryah Mak Chili,Kemaman berjaya diadakan dalam suasana ceria.

Majlis perasmian Ihtifal Gabungan PASTI Adam dan KAFA Adam disempurnakan oleh Ybhg Tuan Haji Aron Ibrahim, selaku Timbalan Pengarah III PASTI Negeri Terengganu.

Turut hadir ialah Sdr Ridzuan Mohamad, Timbalan Penyelaras Jabatan PASTI Kawasan Kemaman merangkap Pengerusi Kebajikan Guru-Guru PASTI.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang didendangkan oleh Sdr Mod Ansari Abd Aziz. Beliau merupakan bekas pelajar PASTI Adam pada tahun 1997.

Sdr Azman Zawawi selaku Pengurus PASTI Adam dalam ucapan aluannya mengucapkan penghargaan kepada pihak urusetia majlis, guru - guru, pembantu - pembantu serta ibubapa/penjaga yang mengembeling tenaga dan memberi sokongan dalam menganjurkan acara tahunan ini.

Menurutnya lagi, PASTI Adam yang merupakan antara PASTI terawal di Daerah Kemaman ditubuhkan pada tahun 1985, di Surau Hj Mat Zain. Bermula dengan hanya 2 kelas pada tahun tersebut, Alhamdulillah dengan berkat kesabaran dan kesungguhan semua pihak, PASTI Adam terus mendapat sambutan dari masyarakat sehingga mempunyai 14 kelas pada waktu ini dan merupakan PASTI yang mempunyai pelajar paling ramai seluruh negara.

Penasihat PASTI Adam, Cikgu Abd Razak Ibrahim pula dalam ucapan beliau menjelaskan sistem pendidikan PASTI sentiasa menitikberatkan mutu pengajian. Oleh itu, kursus-kursus untuk guru-guru sentiasa diadakan.

Bagi matapelajaran Al-Quran, sebagai tambahan kepada silibus yang ada, pihak pengurusan PASTI Adam akan memperkenalkan Teknik Al-Baghdadi bermula tahun hadapan. Para hadirin juga dimaklumkan pada tahun ini PASTI Adam telah menjadi johan dalam pertandingan 3K iaitu Keceriaan, Kebersihan, dan Keselamatan peringkat Negeri Terengganu, sekaligus dipilih menjadi calon ke peringkat pusat bagi mewakili Negerei Terengganu.
Tuan Hj Arun Ibrahim dalam ucapan perasmian mengucapkan tahniah dan penghargaan terutama kepada guru-guru yang banyak berkorban dalam mendidik anak-anak untuk menjadi manusia yang berjaya. Bukan sahaja untuk kejayaan dunia, tetapi yang lebih lebih penting adalah kejayaan di akhirat.

Ujarnya lagi, pengorbanan ibubapa/penjaga memberi pendidikan dengan menghantar anak mereka ke tempat pembelajaran yang berteraskan Islam pasti akan membuahkan hasil yang lumayan untuk masa depan anak tersebut.
Beliau juga memberi tips untuk berjaya iaitu DUIT. Singkatan kepada Doa, Usaha, Istiqamah, Tawakkal.

Majlis Ihtifal PASTI Adam diteruskan dengan persembahan anak-anak, dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun yang baru sahaja selesai.
 

Pusat Asuhan Tunas Islam Kemaman Copyright © 2009 Cookiez is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template