Tuesday, December 29, 2009

Perutusan Khas pembukaan pra sekolah 2010 - Pengarah PASTI Pusat



Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam, salawat dan salam ke atas nabi Muhammad s.a.w., para sahabat dan pengikut baginda yang setia hingga akhir zaman.

Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat menyampaikan sepatah dua kata dalam ruangan ini. Seterusnya, tahniah saya ucapkan kepada warga kerja Jabatan Pendidikan Pasti di semua peringkat, guru serta ibu bapa atas kejayaan membuka kelas pengajian di cawangan Pasti di seluruh negara pada sesi persekolahan 2010 ini.

Belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun hijrah 1431. Semoga tahun baru ini memberi kekuatan kepada kita meningkatkan amal solih untuk kesejahteraan hidup di dunia dan menjadi bekalan terbaik demi kehidupan di akhirat.

Pasti adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam. Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di Pasti adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka. Anak kita ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan, sama ada mereka akan menjadi Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sudah tentu, pendidikan Islam akan menjadi penunjuk jalan dan pembimbing terbaik untuk menyelamatkan mereka mengharungi kehidupan agar tidak terjerumus kepada kesesatan atau kemurkaan Allah.

Selain daripada aktiviti dalam bilik darjah, Pasti Malaysia juga merancang untuk mengadakan Hari Anugerah Murid Pasti Cemerlang pada 30 Januari 2010 di UIA, Selangor, Ijtima’ dan Sambutan Hari Guru di Kuala Terengganu, Sukan Pasti pada bulan Jun, di USM, Pulau Pinang dan Ihtifal Pasti peringkat Kebangsaan pada bulan Oktober, di Ipoh, Perak. Kelas Asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah Harian (Kaffah) juga akan bermula pada bulan Februari nanti. Saya berharap agar ibu bapa sekalian akan memberi sumbangan dan sokongan untuk menjayakan program pembangunan iman serta insan yang dilaksanakan di Pasti di seluruh negara.

Semoga anak-anak kita akan mendapat pendidikan terbaik di Pasti manakala kita akan menjadi ibu bapa dan komuniti yang sentiasa mendokong usaha pembangunan pendidikan terbaik kepada mereka. Bangunkan jiwa anak-anak kita dengan semangat persaudaraan dan perpaduan sejati. Corakkan kain putih itu dengan celupan ilahi. Terima kasih.

AZRIN BIN AB. MAJID
Ketua Pengarah
PASTI Malaysia

Saturday, December 26, 2009

Guru PASTI mendidik bakal pejuang Islam ; Penyelaras PASTI Kemaman

Ahli jawatankuasa Jabatan PASTI Kawasan Kemaman hadir memberi sokongan kepada guru yang akan memulai sessi pra sekolah pada 3hb .Januari 2010.
Nyanyian lagu 'PASTI' menjadi slot wajib setiap kali perjumpaan guru diadakan.
Barisan guru PASTI di seluruh Kemaman yang menyertai perjumpaan bulanan di PASTI Adam semalam.
Mendengar taklimat ringkas dari wakil MGP Kemaman.
Sebahagian guru sedang tekun mendengar penerangan sempena pembukaan pra sekolah 2010.
Nampak tekun dan khusuk...
Masih ada guru yang tidak pernah hadir ke perjumpaan bulanan ini...pihak pengurusan PASTI Qaryah mesti mengambil langkah untuk mengatasinya.
Perjumpaan bulanan akan memberi motivasi kepada para guru disamping dapat bertemu muka sesama guru dari seluruh Kemaman.

KEMAMAM : Tugas mendidik anak - anak seawal usia empat, lima dan enam tahun di PASTI dengan menyemai roh Islam akan melahirkan bakal pejuang Islam di masa hadapan.

'Anak- anak inilah yang bakal menggalas tanggungjawap kita semua di masa hadapan bilamana kita semua sudah berada di hujung usia', jelas Penyelaras Jabatan PASTI Kemaman.

Majlis perjumpaan bulanan para guru anjuran Majlis Guru PASTI (MGP) di PASTI Adam, Mak Chili turut dihadiri ahli jawatankuasa Jabatan PASTI Kemaman.

Para guru diminta memahami konsep hijratul Nabi saw bukan hanya mendengar cerita - ceritanya sahaja saban tahun.

Bagaimana perancangan dan usaha Nabi saw untuk berhijrah sedangkan Nabi saw boleh berdoa terus kepada Allah swt dihantar terus ke Madinah tanpa perlu melalui pelbagai rintangan dan ancaman.

Usaha dan perancangan inilah yang cuba dipaparkan untuk digunapakai oleh umat Islam untuk memartabatkan ummah bukan hanya mengamalkan doa awal tahun dan akhir tahun setiap kali tahun hijrah menjelma.

Perancangan secara bersistematik perlu dilakukan dengan sasaran tertentu seperti menaiktarafkan prasarana kelas dan bangunan PASTI demi menarik hari lebih ramai ibubapa/penjaga menghantar anak mereka ke PASTI.

'Saya dapati kerja penyelenggaraan kelas dan bangunan PASTI kurang diberi keutamaan. Ada kelas yang bocor atap dan lantai rosak. Ini memberi gambaran negetif kepada ibubapa/penjaga terutamanya mereka yang bukan ahli/penyokong PAS', jelas Ustaz lagi.

Jabatan PASTI Kemaman mensasarkan bilangan pelajar sekurangnya menyamai dengan 2009 disebabkan akan bersaing dengan Permata Negara yang bakal beroperasi melalui peruntukan kewangan yang banyak dari kerajaan.

'Kita juga akan memastikan beberapa buah PASTI yang telah lama beroperasi berusaha memasuki pertandingan 3K peringkat Negeri dan Pusat.

Jabatan PASTI Kemaman juga mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan guru - guru PASTI Bistari Al Hikmah, Bukit Kuang kerana mengharumkan nama Kemaman dan negeri Terengganu baru - baru ini.

PASTI Bistari Al Hikmah telah menjadi Johan dalam pertandingan 3K peringkat Kebangsaan 2009 setelah muncul sebagai Johan peringkat PASTI Negeri sebelumnya.

"PASTI 25 Tahun Memimpin Perubahan".

Tuesday, December 22, 2009

Jualan Pra Persekolahan PASTI Kawasan Kemaman 2010

KEMAMAN : Sempena dengan pembukaan pra persekolahan sessi 2010, Jabatan PASTI Kawasan Kemaman dengan kerjasama Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan akan mengadakan jualan keperluan pra persekolahan sepertimana berikut :-

Tarikh : 26hb - 27hb Disember 2009
Hari : Sabtu & Ahad

Masa : 9.00 pg - 5.00 petang

Tempat : PASTI Adam, Mak Chili, Kemaman.


Para ahli jawatankuasa PASTI qaryah, guru dan ibubapa/penjaga pelajar dijemput hadir.

PASTI Nur Islam Bukit Mentok Dapat Bangunan Baru 2010

Mohd Hafiz Adam (baju melayu warna purple) antara penggerak PASTI Nur Islam.
Permandangan 'main entrance' yang cukup luas dan menarik.
Permandangan bahagian lobby yang luas dan serba baru.
Antara bilik yang akan dijadikan kelas untuk pelajar.
Kelihatan tandas dan dapur.
Dari angle ini nampak keluasan kawasan lobby.
Bilik mesyuarat PASTI Nur Islam yang luas dan selesa.

KEMAMAN : PASTI Nur Islam, Bukit Mentok yang ditubuhkan pada 1989 akan berpindah ke bangunan baru setelah 20 tahun beroperasi di Markaz Tarbiyyah PAS Cawangan Bukit Mentok, Kemaman.

Menurut wakil PASTI Nur Islam, Mohd Hafiz Adam, 32 tahun, bangunan yang baru siap tersebut terletak bersebelahan dengan Markaz Tarbiyyah PAS Cawangan Bukit Mentok berharga RM75,000.

PASTI Nur Islam terletak di qaryah Bukit Mentok dimana Ketua Cawangan adalah Haji Ismail Harun. Pengerusi Qaryah ialah Ustaz Ishak Abdul Rahman manakala Setiausaha ialah saudara Rusdi Othman.

Wakil www.pastikemaman.blogspot.com ketika melawat bangunan baru tersebut mendapati keadaan prasarana amat selesa dan kondusif untuk pembelajaran kanak - kanak.

Pada 2009, PASTI Nur Islam mempunyai 45 orang pelajar terdiri daripada tahun 4, 5 dan 6.

Semoga dengan bangunan baru tersebut PASTI Nur Islam akan lebih berdaya maju dan mendapat sambutan yang lebih baik dari kalangan ibubapa/penjaga untuk 2010 ini.

"PASTI 25 Tahun Memimpin Perubahan"

Friday, December 11, 2009

PASTI Kemaman Hantar 21 Guru Berkhusus

Pasukan nasyid guru PASTI Kemaman dengan uniform rasmi berwarna pink semasa mengadakan persembahan di Sambutan Jubli Perak PASTI Terengganu 2009 di Marang bulan lepas.

KEMAMAN : Bagi memastikan para guru PASTI mendapat latihan yang diperlukan, Jabatan PASTI Kawasan Kemaman telah menghantar seramai 21 orang guru menjalani kursus peringkat pra dan sijil dari 11-19hb Disember 2009 di Maahad Darul Quran (MDQ), Rusila bermula semalam.

Kursus anjuran Unit Latihan dan Korikulum, Jabatan PASTI Negeri Terengganu itu diwajibkan kepada semua guru yang mengajar di PASTI bagi menjamin kualiti pengajaran para guru mengikut piawaian Jabatan Pendidikan PASTI Pusat.

Menurut Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Kemaman, Pn. Hasnah Abu Bakar, seramai 9 orang guru akan mengikuti kursus peringkat pra (asas) manakala 11 orang peringkat sijil.

Apabila menamatkan kursus, para guru ini telah mempunyai pengiktirafan untuk menggalas tugas sebagai seorang pendidik.

Jabatan PASTI Kawasan Kemaman mengucapkan Selamat Berkhursus kepada guru yang terlibat.

"PASTI 25 Tahun Memimpin Perubahan".

Tuesday, December 8, 2009

Pengasas PASTI Adam, Mak Chili Kembali Ke Rahmatullah

Allahyarham Haji Mat Hussein Mat Nor, 46 tahun, kembali ke rahmatullah pada petang Isnin, 7hb. Disember 2009 akibat kemalangan ketika ke tempat kerja di Hospital Kemaman...semoga rohnya ditempatkanNya dalam golongan para solih...amin....
Dalam kenangan...Allahyarham Haji Mat Hussain bin Mat Nor seorang yang amat komited dan istiqomah dalam perjuangan Islam...Alfatihah.

KEMAMAN : Pengasas PASTI Adam, Mak Chili, Kemaman, Allahyarham Haji Mat Hussain bin Mat Nor telah meninggal dunia pada petang tadi.

Allayarham telah terlibat dalam sebuah kemalangan semasa beliau hendak ke tempat kerja di Hospital Kemaman pada pukul 7.40 pagi tadi . Allahyarham, 46 tahun meninggalkan seorang isteri dan 7 orang anak .

Allahyarham adalah aktivis yang aktif dalam khidmat sosial masyarakat di Kemaman dan juga Negeri. Allahyarham Hj Mat Hussain adalah mantan Ketua Cawangan PAS Mak Chili , AJK Lujnah Kebajikan PAS Kawasan Kemaman adalah merupakan pengasas PASTI Adam Mak Chili pada tahun 1986 .

Allahyarham juga merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) Air Putih, Kemaman.

Jabatan PASTI Kawasan Kemaman amat merasakan kehilangan beliau yang telah banyak berjasa kepada PASTI Adam Mak Chili .

Allahyarham turut terlibat dalam menjayakan majlis Qurban Perdana PASTI Adam baru-baru ini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan dihimpunkan bersama dengan orang-orang yang soleh .

Alfatihah...

Monday, December 7, 2009

Puan Siti Aidah dari PASTI Kawasan Dungun Tokoh Guru PASTI Terengganu 2009

Salah seorang guru yang menerima Anugerah Khas dari YB Ustaz Ketua DPPNT.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua DPPNT sedang menyampaikan ucapan perasmian.
Ucapan aluan dari Pengarah, Jabatan PASTI Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said.
Ucapan aluan penuh semangat dari Ketua Majlis Guru PASTI Negeri Terengganu.
Suasana dalam dewan yang dipenuhi oleh para tetamu dan warga pendidik PASTI seluruh Terengganu.
Bacaan Al Quran dari seorang pelajar PASTI membuka tirai sambutan Hari Guru 2009.
'....kami berikrar akan memberikan yang terbaik...', warga guru PASTI sedang membaca ikrar.
Unifom pink adalah warga PASTI Kawasan Kemaman sedang menyampaikan persembahan.
Warga salah sebuah PASTI Kawasan sedang mendendangkan alunan nasyid.
Pasangan duet adik kecil ini adalah pelajar PASTI yang petah bertutur kata...
Ustaz Abu Bakar Salleh, AJK PAS Kawasan Marang mengetuai pasukan Dikir Barat.
'...Guru Oh Guru...' tajuk sajak yang disampaikan oleh Setiausaha PASTI Negeri, Ustaz Sulaiman Sulong.
YB Ustaz Mohd Nor sedang menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima Anugerah Khas.
YB Ustaz Mohd Nor sedang menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penerima Anugerah Khas.
Jamuan Hari Guru dengan pelbagai jenis kuih muih dan Nasi Minyak Special.
Ini orang kuat, Setiausaha Kerja PASTI Negeri, Sharabi sedang menikmati juadah.
Sessi bergambar di akhir sambutan Hari Guru PASTI Terengganu 2009 bersama tetamu dan Perasmi.

KUALA IBAI :
"Setiap hari adalah hari guru"... itulah kata-kata hikmah yang diucapkan oleh Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Terengganu dan diulangi oleh Pengarah Jabatan PASTI Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Soud Said dalam ucaptama beliau.

Bertempat di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari guru ini berjaya menghimpunkan lebih 300 guru-guru dari seluruh PASTI kawasan-kawasan di Terengganu serta Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PASTI Negeri.

Sebagai memberkati majlis, aturcara gilang gemilang ini dimulakan dengan alunan wahyu daripada seorang pelajar PASTI Kuala Terengganu . Seterusnya, disemarakkan dengan nyanyian lagu tema PAS & lagu PASTI oleh semua guru-guru dan hadirin.

Dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah dengan kalimah juang yang mulia "Siru 'ala barakatillah", antara yang ditekankan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ialah tentang tanggungjawab dan jasa guru PASTI sebagai pendidik, sebagai murabbi yang berperanan besar dalam membentuk anak-anak melalui tarbiyyah Islamiyah.

Lantas disertai pula dengan ikrar guru PASTI Terengganu untuk terus komited berjihad dalam gerakan Islam.

Memeriahkan majlis, persembahan sajak daripada pelajar-pelajar PASTI Hulu Terengganu.

Nasyid oleh guru-guru PASTI Kawasan Kuala Nerus dan Kemaman.

Dikir dakwah oleh kumpulan the Syoutul Jihad, cabutan bertuah dan teristimewa sajak daripada Setiausaha Jabatan PASTI Negeri Terengganu, Ustaz Sulaiman Sulung bertajuk 'Guru Oh Guru'.

Majlis sambutan ini juga meraikan mantan AJK PASTI Negeri sessi yang lepas serta penyampaian anugerah pengurusan kewangan cemerlang PASTI kawasan-kawasan, guru lama berkhidmat PASTI negeri Terengganu (Cikgu Maznah Endut - PASTI Kuala Nerus), guru cemerlang PASTI kawasan-kawasan dan tokoh guru pasti PASTI negeri Terengganu (Cikgu Siti Aidah - PASTI Dungun).

Tidak kurang hebat dan menyelerakan ialah makanan yang dihidangkan. Ada pulut santan durian, aneka jenis kuih, kepok rebus, tapai pulut dan teristimewa nasi bukhari pada tengaharinya.

Itulah antara keistimewaan cikgu PASTI, disamping bijak mendidik, pandai juga memasak.

Majlis diakhiri dengan sessi bergambar untuk semua ALP Negeri & guru-guru yang menerima anugerah. Dengan harapan insyaAllah, sesuai dengan usia 25 tahun PASTI, semoga ia akan lebih maju dalam menerajui perubahan dalam pendidikan pra sekolah di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Syabas & teruskan perjuangan yang murni ini.

"SELAMAT HARI GURU... Setiap Hari Adalah Hari Guru".

Thursday, December 3, 2009

Beberapa PASTI Ditenggelami Banjir Di Kemaman

Pemandangan hadapan PASTI Ar Rahman, Kerteh yang ditenggelami banjir.

Selepas ini pihak ahli jawatankuasa qaryah bersama guru dan pembantu bertungkus lumus membersihkan PASTI.

KEMAMAN : Gelombang kedua musim tengkujuh yang melanda Terengganu menyebabkan berlaku kenaikan paras air secara mendadak di beberapa tempat.

Fenomena ini disebabkan isipadu tanah yang telah mempunyai air dari hujan siri pertama terdahulu.

Bangunan PASTI yang berada di paras rendah tidak terkecuali ditenggelami banjir.

Syukurlah, musim tengkujuh ini belaku semasa murid - murid sedang bercuti panjang. Jika tidak hari - biru juga dibuatnya.

Wakil www.pastikemaman.blogspot.com sempat meninjau beberapa buah PASTI yang ditenggelami air.

Selepas ini pihak Ahli Jawatankuasa Qaryah terpaksa bertungkus lumus membersihkan bangunan PASTI. Jangan biarkan cikgu dan pembantu sahaja yang bekerja, mesti dilakukan gotong royong.

Kepada pelajar - pelajar PASTI, pihak Jabatan PASTI Kawasan Kemaman menasihatkan berhati - hati ketika menghadapi banjir.

Jangan jadikan musim tengkujuh sebagai Pesta Air. Kecelakaan dan kemalangan memang ketentuan Ilahi tetapi sebagai insan kita diharuskan berusaha menjauhi segala perkara yang membahayakan.

Bukankah bermain air tanpa pengawasan ibubapa dan penjaga itu mengundang bahaya namanya?.

Semoga pelajar PASTI dapat memanafaatkan cuti sekolah yang panjang ini dengan perkara yang berfaedah.

Akhir kata, Selamat Bercuti dan Berhati - Hati Di Musim Tengkujuh.

"PASTI 25 Tahun Memimpin Perubahan"

Saturday, November 28, 2009

PASTI akan buang hadis palsu dalam buku teks pra sekolah

Malaysiakini : Jabatan Pendidikan, Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuang satu hadis yang didakwa palsu dalam buku teks kanak-kanak enam tahun dalam edisi baru, seawal-awalnya diterbit pada 2011, kata seorang pegawainya.

Jabatan itu yang mengurus Pusat Asuhan Tunas Tunas Islam (PASTI) akan mengeluarkan buku teks baru untuk murid tahap dua, kata setiausaha eksekutifnya Kamarul Arif Ambak.

PASTI masih lagi menggunakan buku Pelajaran Al-Quran – yang didakwa menyiarkan hadis palsu itu – cetakan tahun 2005.

"Sudah lama timbul isu ini, kita sudah bincang tiga, empat tahun lepas kerana masih ada yang berpandangan ia boleh dipakai.

"Kita masih belum tukar versi baru. Kita ambil perhatian, kita tidak mahu ada perbezaan pandangan sehingga menjadi perbalahan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan seorang ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pahang di blog peribadinya, Selasa lalu.

Khairul Azmi Ismail mendedahkan, hadis berbunyi "hubbul watan minal iman" atau maksudnya "mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman" diletakkan di halaman 37 teks tersebut.

"Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan (boleh disebarkan) malahan dhaif (lemah) pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam silibus anak-anak kita," katanya.

Selepas merujuk beberapa sumber ulama, beliau menyimpulkan bahawa "hadis ini memang jelas kepalsuannya, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya" dan "hadis palsu haram diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya".

Khairul Azmi menggesa penyusun sukatan pelajaran PASTI membuat penelitian semula dan penambahbaikan terhadap teks-teks rujukan murid supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang.

Menurut Kamarul Arif lagi, Jabatan PASTI Dewan Pemusa Pas Pusat pada asalnya bercadang menerbitkan edisi baru buku teks itu tahun ini tetapi gagal kerana ia masih di peringkat penyusunan dan reka letak buku tersebut.

Wednesday, November 25, 2009

PASTI Kaw Kemaman Sasar 1,500 Pelajar Tahun 2010 ; Penyelaras PASTI Kemaman

Ridzuan Mohamad (Timbalan Penyelaras) nampak serius...
Selamat Datang Ke Jabatan PASTI Kemaman...Ustaz Wan Mohd Zawawi Wan Hassan (Penolong Bendahari)
Dua orang kuat Jabatan PASTI Kawasan Kemaman..Abdul Rolit Md Yusof dan Ridzuan Mohamad.
Ketua Unit Ko-kurikulum & Sukan, Abdul Rolit Md Yusof tersenyum manja...
Hamzah Mohamad (Ketua Unit peperiksaan) berjaya mengendalikan Peperiksaan Pelajar cemerlang PASTI Kemaman bulan lepas dengan sempurna.

KEMAMAN : Jabatan PASTI Kawasan Kemaman mensasarkan 1,500 pelajar tahun 4,5 dan 6 bagi sessi pra persekolahan 2010 nanti.

Penyelaras Jabatan PASTI Kawasan Kemaman, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata beberapa pendekatan dan strategi telah diatur untuk mencapai sasaran tersebut.

Jabatan PASTI Kawasan Kemaman akan mengambil inisiatif besepadu dengan memperhebatkan promosi kepada ibubapa dan penjaga pelajar untuk mendaftarkan anak mereka ke PASTI.

'Kami akan mengeluarkan banner untuk setiap DUN disamping mencetak 4,000 pamplet berkenaan PASTI untuk diedarkan kepada seluruh masyarakat di Kemaman', ujar Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Jabatan PASTI Kawasan Kemaman yakin ibubapa/penjaga kanak - kanak akan memilih PASTI sebagai wadah pendidikan pra persekolahan untuk anak mereka.

Kurikulum dan kokurikulum bersepadu PASTI yang bermatlamat melahirkan pelajar soleh dan solehan dilihat sebagai satu aset penting yang ditawarkan oleh PASTI berbanding dengan Kelas Bimbingan Kanak - Kanak lain.

Sehubungan itu, satu perbincangan persiapan sessi pra persekolahan PASTI 2010 telah diadakan di Pejabat PAS Kawasan Kemaman malam tadi.

Antara yang hadir ialah Ustaz Hishamuddin Abdul Karim (Penyelaras), Mohd Tishaah Hamzah (Timbalan Penyelaras 1), Ridzuan Mohamad (Timbalan Penyelaras 2), Usman Yusoff (Setiausaha), Ustaz Wan Mohd Zawawi Wan Hassan (Penolong Bendahari), Hamzah Mohamad (Ketua Unit Peperiksaan) dan Abdul Rolit Md Yusof (Ketua Unit Kokorikulum dan Sukan).

"PASTI 25 Tahun Memimpin Perubahan".

"PASTI : Pendidikan Pra Sekolah Abad Ke-21".


Monday, November 16, 2009

Ihtifal Gabungan PASTI Mukim Binjai Kali Ke-9 Dirasmikan Naib YDP Kemaman

Pengarah Ihtifal Gabungan PASTI Mukim Binjai 2009, Ridzuan Mohamad sedang berucap mewakili Jabatan PASTI Kawasan Kemaman.
Persembahan nasyid gabungan pelajar muslimin dan muslimat...masing - masing nak menonjolkan diri...
Pelajar muslimat memonopoli 'kecemerlangan'...pelajar Cemerlang Keseluruhan Ihtifal PASTI Mukim Binjai 2009 bagi lima dan enam tahun bersama hadiah 'basikal sport'...respeklah pada kaum muslimat...

Ustaz Hj Hazri menyampaikan Sijil PASTI kepada salah seorang pelajar 6 tahun yang akan meninggalkan PASTI...
'Ya Allah....ampunilah dosa kedua ibubapa/penjaga kami sepertimana mereka menjaga dan mengasihi kami semenjak kecil....Amiiin', antara doa harian yang dilafazkan.
Persembahan nasyid gabungan...hampir memenuhi setiap ruang dan inci pentas.
Gabungan pelajar muslimin vs muslimat...biru vs purple...
'mana cikgu Afiq ni....perut dah keroncong ni tau....', bisikan hati siapa yang tahu.
Sebahagian ibubapa/penjaga yang hadir meraikan...
Adik kecik bersama bapanya melihat kakak mereka bernasyid...
Sebahagian ibu/muslimat yang hadir memberi sokongan moral kepada anak mereka.
Ustaz Haji Hazri Jusoh, Naib YDP PAS Kawasan Kemaman menyampaikan ucapan perasmian.

BINJAI : Majlis Ihtifal Gabungan PASTI Mukim Binjai Kali Ke-9 pada 2009 telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Haji Hazri Jusoh pada 14hb. November 2009 lepas.

PASTI Nurul Ehsan, Pasir Minal menjadi tuan rumah 2009 pada ihtifal gabungan bagi seluruh PASTI yang berada dalam Mukim Binjai tersebut.

Menurut Pengarah Ihtifal Gabungan 2009, Ridzuan Mohamad, ihtifal gabungan ini dapat menjimatkan masa dan kos kerana ianya diadakan sekali merangkumi lima buah PASTI.

'Disamping itu, majlis ini dapat mengumpulkan kesemua pihak pengurusan, guru, pembantu dan ibubapa/penjaga.

Ini dapat mempereratkan lagi ikatan persaudaraan dan dapat bertukar pandangan serta pendapat sesama ahli jawatankuasa pengurusan PASTI', ujar Ridzuan Mohamad yang juga Timbalan Penyelaras Jabatan PASTI Kawasan Kemaman.

'PASTI : 25 TAHUN MEMIMPIN PERUBAHAN'

 

Pusat Asuhan Tunas Islam Kemaman Copyright © 2009 Cookiez is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template