Friday, October 23, 2009

PASTI Terengganu Hargai Jasa, Sumbangan Tokoh, Pejuang Terdahulu



MARANG : Sempena sambutan Jubli Perak, Jabatan Pasti Negeri Terengganu memberi penghargaan, mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat dalam membangunkan institusi pendidikan pra-sekolah itu di negeri ini.

Sumbangan mereka yang memberikan sumbangan, samada wang ringgit dan tenaga, guru mahupun pengarahnya, cukup bernilai sehingga Pasti di negeri ini mencapai umur 25 tahun kini.

Penghargaan kepada tokoh-tokoh yang berjasa tersebut cukup istimewa apabila ia disampaikan sendiri oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas acara Perasmian Sambutan Jubli Perak Pasti negeri yang berlangsung di pekarangan Masjid Rusila, kelmarin.

Anugerah Tokoh Jubli Perak di berikan kepada tujuh orang mantan Pengarah Pasti negeri, sejak dari awal penubuhannnya iaitu Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik (1984-1986), Haji Husin Ismail (memangku), Ustaz Abu Bakar Abdullah (1986-1989), Ustaz Jusoh Osman (1989-1991), Haji Mohd Draman (1991-1993), Zakaria Dagang (1993-1999) dan Azmi Mohd Yasin (1999-2007).

Bagi Anugerah Jasamu Dikenang, penerima terdiri daripada Wan Zaini Wan Yahya dan Raja Endun Raja Abdul Rahman (pengasas penubuhan Pasti), Haji Abdul Halim Mat Shafie (penyumbang tanah untuk pembinaan Pasti) dan guru-guru awal iaitu Hajjah Hasnah Endut, Puan Fatimah Mohamad, Puan Fatimah Harun dan Puan Jamilah Ismail.

Tiga buah Pasti awal yang ditubuhkan di negeri ini iaitu Pasti Darul Salam Losong, Kuala Terengganu (1980), Pasti Gong Gemia (1980) dan Pasti Itqanul Hadid, Rusila (1981) menerima Anugerah Khas.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda PAS negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Pelbagai acara menarik diadakan pada sambutan yang bermula 22 hingga 24 Oktober itu yang melibatkan semua peringkat masyarakat seperti pertandingan mewarna, gerai pameran, sukaneka, derma darah, wacana ilmu, forum pendidikan Islam, jamuan rakyat, malam kesenian Islam dan lain-lain.

Last Updated ( Saturday, 24 October 2009 13:06 )

Posted by Pemuda MTD Kemasik at 10:59 PM 0 comments

0 comments:

Post a Comment

 

Pusat Asuhan Tunas Islam Kemaman Copyright © 2009 Cookiez is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template